Lima terkorban, puluhan masih hilang feri karam di Bangladesh

Astro Awani
Mac 20, 2022 07:30 MYT
Pasukan penyelamat membawa naik mayat mangsa susulan kejadian feri karam di Sungai Shitalakshya. - Foto REUTERS
SEKURANG-kurangnya lima orang terkorban dan puluhan lagi hilang selepas sebuah feri kecil yang sarat dengan penumpang berlanggar dengan sebuah kapal kargo dan karam di Sungai Shitalakhsya, Bangladesh, pada Ahad.
Feri itu berlepas dari daerah perindustrian Narayanganj, kira-kira 20km dari ibu kota Dhaka, ke Munshiganj.
Seorang pegawai polis tempatan, Mohammad Moniruzzaman berkata, mangsa yang maut termasuk dua wanita dan dua kanak-kanak.
Operasi menyelamat sedang giat dijalankan bagi mencari mangsa yang masih hilang.
Polis berkata mereka tidak mengetahui jumlah sebenar mangsa yang hilang, tetapi penumpang berkata lebih daripada 50 orang berada di atas feri dan ada yang berjaya berenang ke darat.
Ratusan individu maut setiap tahun dalam kemalangan feri di Bangladesh, sebuah negara Asia Selatan yang rendah dan mempunyai laluan air pedalaman yang luas tetapi piawaian keselamatan yang lemah.
Hampir 30 peratus daripada 170 juta penduduk negara itu berulang alik di sepanjang laluan sungai.
#feri karam #maut #mangsa #Operasi pencarian
;