Lima terkorban dalam banjir besar di Guizhou, China
Astro Awani
Jun 13, 2020 14:53 MYT
Jun 13, 2020 14:53 MYT
Hujan lebat yang berterusan sejak beberapa hari lalu menyebabkan banjir besar mula menenggelamkan rumah dan merosakkan ladang penduduk di Bandar Zunyi, di Wilayah Guizhou, China.
Setakat ini, lima orang dilaporkan menjadi korban bencana itu sementara sekurang-kurangnya lapan penduduk lagi masih hilang.
Operasi mencari mangsa yang hilang sedang giat dijalankan pasukan penyelamat.
Hujan lebat dan ribut kencang dilaporkan berlaku sejak malam Khamis lalu.
2,190 rumah dan 115 kenderaan dilaporkan rosak teruk.
Manakala, sekurang-kurangnya 35 jalan raya dan tiga jambatan turut mengalami kerosakan.
Pihak berkuasa menganggarkan kemusnahan akibat bencana itu melibatkan kerugian lebih AS$12 juta dolar.
Ketika ini, kira-kira 13 ribu penduduk sudah dipindahkan ke lokasi selamat.