Lima sekeluarga maut dirempuh pemandu leka main telefon bimbit

Astro Awani
Oktober 9, 2017 08:03 MYT
Pemandu kenderaan pacuan empat roda merempuh lima sekeluarga sehingga maut di Hunan, China -Facebook/wow996
Lima sekeluarga maut dirempuh sebuah kenderaan pacuan empat roda di sebuah jalan raya di China.
Dalam kejadian pada 11.00 pagi 2 Oktober lalu, keluarga yang terdiri daripada ibu dan bapa serta empat anak mereka dirakam kamera CCTV sedang berjalan di laluan pejalan kaki.
Namun, secara tiba-tiba sebuah trak memecut laju ke arah keluarga itu dari belakang lalu melanggar mangsa menyebabkan mereka tercampak ke jalan.
Tragisnya, si bapa diseret kenderaan tersebut kira-kira 100 meter ke seberang jalan.
Seorang anak pasangan malang itu walau bagaimanapun terselamat dalam insiden itu. Rakaman CCTV menunjukkan dia kelihatan terkejut dan menangis di tengah jalan sejurus selepas kejadian.
Orang awam yang melihat insiden lantas mengejar dan menahan pemandu kenderaan berkenaan.
Menurut laporan China Digital Times, ketika kejadian pemandu itu dipercayai leka menggunakan telefon bimbit hingga kenderaannya terbabas dan merempuh keluarga malang itu.
Pemandu tersebut dilapor telah diserahkan kepada pihak polis untuk siasatan lanjut.
#Hunan #lima sekeluarga maut #pemandu leka bermain telefon bimbit #si bapa diseret