Lima remaja ditahan selepas disyaki umpan, bunuh rakan sebaya

Astro Awani
Januari 5, 2021 12:16 MYT
Mangsa diumpan ke kawasan berkenaan menerusi aplikasi media sosial bagi cubaan memberi pengajaran. - Foto IG @emiliagrace.xx
BERKSHIRE: Empat remaja lelaki dan seorang remaja perempuan ditahan polis kerana disyaki melakukan konspirasi membunuh rakan sebaya dengan menikam mangsa sehingga mati.
Kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 3.30 petang waktu tempatan di sebuah taman di Bugs Bottom, Emmer Green, Berkshire, United Kingdom pada Ahad.
Lapor BBC, mangsa, Oliver Lucas Stephens, atau dikenali sebagai Olly, disahkan mati di taman berkenaan selepas beberapa penduduk di situ, terserempak dengan sekumpulan remaja yang ‘mencurigakan’ dan mengerumuni mangsa yang sedang berlumuran darah.
Pihak berkuasa menerima panggilan kecemasan pada jam 4.00 petang Ahad disusuli dengan laporan insiden serangan.
Lokasi kejadian serangan pada Ahad di Emmer Green. - Foto Google Maps
Namun, lapor The Sun UK, terdapat dakwaan bahawa mangsa telah diumpan ke kawasan berkenaan menerusi aplikasi sosial Snapchat oleh sekumpulan remaja bagi cubaan ‘memberi pengajaran’.
Ia selepas polis memeriksa telefon bimbit dan komputer milik mangsa dan mendapati terdapat perbualan di antara mangsa dan suspek, yang juga merupakan rakan sebaya Olly, untuk ke kawasan berkenaan pada waktu kejadian.
Susulan kejadian itu, pihak berkuasa menahan kelima-lima remaja berkenaan, yang kesemuanya berusia 13 hingga 14 tahun selepas dipercayai menjadi suspek kepada kejadian berkenaan.
Jelas Polis Thames Valley, Detektif Superintendan Kevin Brown, ia merupakan insiden yang tragik dan mengejutkan.
“Insiden tragik itu telah menyebabkan kematian seorang remaja.
“Takziah diucapkan kepada keluarga mangsa,” kata Brown.
#polis #bunuh #mangsa #suspek #mati #serangan #remaja #lelaki #keluarga
;