Lima pelajar Thailand yang pulang dari Arab Saudi pesakit terbaharu COVID-19

Bernama
Jun 13, 2020 17:52 MYT
Thailand mencatatkan lima kes baharu COVID-19, kesemuanya melibatkan warga Thailand yang pulang dari Arab Saudi. - Gambar fail/BERNAMA
Thailand mencatatkan lima kes baharu COVID-19, kesemuanya melibatkan warga Thailand yang pulang dari Arab Saudi, manakala tiada kematian sejak 24 jam yang lepas menjadikan jumlah kes 3,134 dengan 58 kematian.
Pusat bagi Pentadbiran Situasi COVID-19 (CCSA) dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa lima pesakit baharu itu adalah pelajar berusia antara 21-26 tahun dan sedang menjalani kuarantin selama 14 hari di kemudahan negeri di Chachoengsao dan Samut Prakan.
"Daripada 3,134 kes di negara ini, 2,987 daripadanya telah pulih dan dibenarkan pulang manakala 89 lagi masih dirawat di wad," menurutnya.
Ini adalah hari ke-19 tanpa jangkitan tempatan.
Mulai Isnin, Thailand akan menarik kembali arahan perintah berkurung dari 11 malam hingga 3.00 pagi dan seterusnya melonggarkan sekatan COVID-19 di bawah fasa keempat pelonggaran.
Antara perniagaan dan tempat yang akan dibuka semula ialah sekolah antarabangsa dan pusat tuisyen, pameran dan konsert yang akan dibuka semula dengan disertakan langkah keselamatan. Bagaimanapun, semua pertandingan sukan akan diadakan tanpa penonton.
Tempat hiburan termasuk pub, bar dan karaoke serta tempat sauna dan urut masih terus ditutup.
Sementara itu, Menteri Sumber Asku dan Alam Sekitar, Varawut Silpa-archa berkata, enam zoo di negara ini akan dibuka semula dengan kemasukan percuma mulai Isnin hingga 30 Jun.
Keenam-enam zoo itu ialah Khao Kheow Open Zoo di Chon Buri, Chiang Mai Zoo, Nakhon Ratchasima Zoo, Songkhla Zoo, Khon Kaen Zoo, Ubon Ratchathani Zoo dan Elephant Nature Park di Surin.
Had pengunjung ditetapkan 2,000 orang melibatkan dua tempoh kemasukan iaitu pukul 8.00 pagi hingga tengah hari dan tengah hari hingga 5.00 petang," katanya, memetik Bangkok Post.
Sementara itu, Varawut berkata, semua 127 taman negara di Thailand akan dibuka semula kepada pengunjung mulai Isnin, namun, 28 taman marin akan terus ditutup semasa musim monsun.
-- BERNAMA
#Arab Saudi #Bangkok #CCSA #Chachoengsao #COVID-19 #kes baharu #Samut Prakan #Thailand
;