Lima negeri AS desak Musk perbaiki chatbot X

Bernama
Ogos 7, 2024 03:15 MYT
Pegawai pilihan raya tertinggi dari lima negeri menggesa Musk untuk "segera melaksanakan perubahan" pada chatbot AI berkenaan.
NEW YORK: Pegawai pilihan raya tertinggi dari lima negeri Amerika Syarikat (AS) telah menggesa jutawan Elon Musk untuk menangani dan memperbaiki chatbot AI pada platform media sosial X yang mereka dakwa menyebarkan maklumat palsu mengenai pilihan raya, lapor Agensi Berita Xinhua.
Dalam surat yang dihantar pada Isnin, setiausaha negara dari Michigan, Minnesota, New Mexico, Pennsylvania dan Washington menyatakan bahawa chatbot AI X, Grok memberikan maklumat palsu mengenai pilihan raya, termasuk satu yang menunjukkan bahawa Naib Presiden AS Kamala Harris tidak layak untuk tampil pada kertas undi presiden 2024.
Menurut mereka, beberapa jam selepas pengumuman Presiden Joe Biden untuk menarik diri daripada pemilihan presiden 2024 pada 21 Julai, "maklumat palsu mengenai tarikh akhir pengundian yang dihasilkan oleh Grok telah dikongsi di pelbagai platform media sosial.
Satu hantaran dari Grok menyatakan bahawa: "Tarikh akhir kertas undi telah berlalu untuk beberapa negeri bagi pilihan raya 2024," dan menyenaraikan sembilan negeri: Alabama, Indiana, Michigan, Minnesota, New Mexico, Ohio, Pennsylvania, Texas dan Washington."
Pegawai itu menyatakan maklumat berkenaan salah, dan pengundian tidak ditutup di mana-mana sembilan negeri itu. Grok terus mengulangi maklumat palsu berkenaan "selama lebih seminggu sehingga ia diperbetulkan pada 31 Julai 2024."
Menurut surat itu, walaupun Grok hanya tersedia kepada pelanggan X Premium dan Premium+, maklumat palsu itu dikongsi di pelbagai platform media sosial dan menjangkau jutaan orang.
Pegawai pilihan raya tertinggi dari lima negeri menggesa Musk untuk "segera melaksanakan perubahan" pada chatbot AI berkenaan "untuk memastikan pengundi mempunyai maklumat yang tepat pada tahun pilihan raya yang kritikal ini."
"Adalah penting bahawa syarikat media sosial, terutamanya yang mempunyai jangkauan global, membetulkan kesilapan mereka sendiri -- seperti dalam kes chatbot AI Grok yang hanya mendapat peraturan yang salah," kata Setiausaha Negara Minnesota Steve Simon dalam satu kenyataan kepada The Washington Post.
--BERNAMA-XINHUA
#chatbot X #maklumat palsu #Elon Musk #pilihan raya