Lima maut ditembak penyerang 'mariachi' pada Hari Kemerdekaan

Sinar Harian
September 16, 2018 18:18 MYT
Pasukan penyiasat dilaporkan menemui 60 kelongsong peluru di lokasi kejadian. -Foto Sinar Harian
Sekumpulan penyerang berpakaian seperti pemuzik mariachi melepaskan tembakan di pusat tumpuan pelancong, Plaza Garibaldi, mengakibatkan lima maut dan lapan lagi cedera termasuk seorang rakyat asing.
Lima penyerang melepaskan tembakan menggunakan raifal dan pistol sekitar jam 10.00 malam waktu tempatan semalam ketika plaza itu dipenuhi orang ramai yang menyertai parti meraikan Hari Kemerdekaan pada 16 September.
Pasukan penyiasat dilaporkan menemui 60 kelongsong peluru.
“Lima terbunuh dalam kejadian di Plaza Garibaldi. Tiga lelaki maut di tempat kejadian sementara dua wanita meninggal dunia di hospital,” menurut kenyataan pendakwa raya Mexico City sambil menambah penyerang melarikan diri dengan motosikal.
Penyiasat tidak memberikan motif serangan tetapi berkata dua daripada lelaki yang terbunuh, berusia 36 dan 46 tahun, pernah disabitkan merompak sebelum ini. -AFP
#hari kemerdekaan #Mexico #Mexico City #parti #pemuzik mariachi #Plaza Garibaldi
;