Lima maut ditembak askar di kilang tentera di Ukraine
Agensi
Januari 27, 2022 15:28 MYT
Januari 27, 2022 15:28 MYT
SEORANG askar Pengawal Negara Ukraine menembak beberapa pengawal keselamatan di sebuah kilang tentera di Ukraine pada awal Khamis.
Menurut pihak polis, lima maut manakala lima yang lain mengalami kecederaan akibat insiden tersebut.
Insiden berlaku awal pagi Khamis di kilang peluru berpandu Pivdenmash di Dnipro ketika senjata sedang diagihkan kepada pengawal-pengawal keselamatan.
Askar tersebut masih diburu pihak polis.
Rusia baru-baru ini menghimpunkan puluhan ribu anggota tentera berhampiran sempadan timur Ukraine sekali gus mencetuskan kebimbangan bahawa Kremlin mungkin merancang serangan ketenteraan terhadap bekas jirannya itu.
Moscow bagaimanapun menafikan bahawa mereka sedang bersiap sedia untuk menyerang dan berkata tenteranya berada di sana untuk sesi latihan.
Moscow turut menyatakan bahawa negara-negara Barat mahu menggunakannya sebagai alasan untuk menempatkan peralatan tentera NATO berhampiran sempadan Rusia.