Lima maut dalam tragedi tembakan di sekolah Kanada
Madiha Abdullah
Januari 23, 2016 11:21 MYT
Januari 23, 2016 11:21 MYT
Lima terbunuh manakala dua lagi cedera dalam satu kejadian tembakan di sebuah sekolah di bandar Saskatoon di daerah Saskatchewan, Kanada, pada Jumaat.
Perdana Menteri Kanada, Justin Trudeau bagaimanapun meredakan kebimbangan orang ramai apabila memberitahu situasi di bandar kecil La Loche itu berada dalam keadaan terkawal, dan penjenayah terbabit telah ditahan.
Identiti penjenayah belum diketahui.
Kejadian dilaporkan berlaku di La Loche Community School yang terletak di bandar yang memiliki kira-kira 2,600 penduduk itu.
Akaun Facebook sekolah berkenaan memuat naik status terakhirnya tujuh jam yang lalu, dengan satu kenyataan yang menjelaskan situasi cemas yang berlaku di salah sebuah bangunan di sekolah yang memiliki 900 orang pelajar itu.
Kali terakhir kejadian tembakan berlaku di Kanada adalah pada tahun 2007 yang mengorbankan seorang pelajar sekolah di Toronto.