Lima mati mengejut dalam konsert pop di Manila
Agensi
Mei 22, 2016 21:42 MYT
Mei 22, 2016 21:42 MYT
Lima orang termasuk remaja maut akibat sebab yang tidak diketahui sewaktu sebuah konsert pop sedang berlangsung di pinggir Manila, pada Ahad.
Lima mangsa itu adalah antara 14,000 orang yang hadir ke konsert ‘Closeup Forever Summer’, yang antara lain menampilkan persembahan duo DJ dari Belgium, Dimitri Vegas dan Like Mike, ujar pegawai penyiasat Giovanni Arcinue.
AFP melaporkan, antara yang meninggal dunia ialah lelaki warga asing berusia 33 tahun, dipercayai rakyat Amerika.
“Mereka tiba-tiba rebah secara berasingan. Mereka tidak kenal antara satu sama lain. Mereka berada di tempat yang berbeza,” ujarnya.
Tambahnya, punca mereka rebah masih tidak dapat diopastikan walaupun pihak polis mengambil kira faktor strok haba atau dehidrasi berikutan cuaca panas yang dibawa fenomena El Nino.
Dia juga berkata, masih awal untuk merumuskan kematian itu disebabkan minuman yang mempunyai campuran dadah, seperti yang tersebar di media.
Closeup, yang merupakan syarikat ubat gigi, telah mengeluarkan kenyataan: “Kami kesal kerana meskipun telah mengambil langkah teliti bagi memastikan keselamatan pengunjung, insiden seumpama ini masih berlaku.”
Syarikat itu kini bekerjaama dengan pihak polis dalam siasatan.