Lima lagi kematian direkodkan akibat gelombang haba di Korea Selatan
Bernama
Ogos 5, 2024 15:20 MYT
Ogos 5, 2024 15:20 MYT
SEOUL: Lima lagi individu meninggal dunia akibat gelombang haba di Korea Selatan, menjadikan angka kematian setakat ini mencecah 13 orang, lapor Agensi Berita Yonhap pada Isnin.
Ringkasan AI
- Lima lagi individu meninggal dunia akibat gelombang haba di Korea Selatan, menjadikan jumlah kematian setakat ini 13 orang.
- Seramai 1,546 orang dilaporkan mengalami penyakit berkaitan haba, dengan kerajaan mengaktifkan sistem pemantauan intensif untuk warga emas dan kumpulan rentan.
- Gelombang haba dijangka berterusan sekurang-kurangnya 10 hari lagi, dengan amaran gelombang haba tertinggi telah dikeluarkan dan suhu mencecah sekitar 40 darjah Celsius di beberapa kawasan.
Sebanyak tiga kematian dilaporkan di bandar Gwangju dan Wilayah Gyeongsang Utara pada Sabtu, manakala dua lelaki berusia 90-an ditemui mati di bandar Suncheon pada Ahad.
Menurut Agensi Kawalan dan Pencegahan Penyakit Korea, seramai 1,546 orang dilaporkan mengalami penyakit berkaitan haba setakat ini.
Sebagai tindak balas, kerajaan mengaktifkan sistem pemantauan intensif terutamanya terhadap warga emas dan kumpulan rentan lain.
Gelombang haba dijangka berterusan sekurang-kurangnya 10 hari lagi, menurut agensi cuaca.
Minggu lalu, kementerian dalam negeri mengeluarkan amaran gelombang haba tertinggi dan meningkatkan tahap tindak balasnya kepada Tahap 1, iaitu tahap tertinggi dengan suhu mencecah sekitar 40 darjah Celcius di beberapa kawasan.
-- BERNAMA