Lima lagi bangkai gajah dijumpai di Air Terjun Khao Yai, menjadikan jumlahnya 11
Bernama
Oktober 8, 2019 20:50 MYT
Oktober 8, 2019 20:50 MYT
Hasil bantuan alat dron berjaya mengesan lima lagi bangkai gajah liar berdekatan Air Terjun Haew Narok di Taman Negara Khao Yai di Thailand Tengah.
Penemuan yang mengerikan itu membawa jumlah gajah liar yang mati di air terjun berkenaan kepada 11 ekor. Ia jumlah kehilangan terbesar populasi gajah liar di Thailand.
Gabenor Nayok, Natthapong Sirichana berkata, alat dron yang sepatutnya digunakan untuk mengesan dan mengawasi dua ekor gajah yang diselamatkan - seekor ibu dan anaknya, membuat penemuan yang mengejutkan semalam.
Beliau berkata, lima bangkai gajah itu dikesan kira-kira 1 kilometer dari Air Terjun Haew Narok, tempat di mana enam ekor gajah dijumpai sebelum ini.
"Adalah dipercayai kelima-lima gajah berkenaan daripada kumpulan gajah yang sama terjatuh ke dalam air terjun itu Sabtu lepas," katanya pada persidangan akhbar di sini, hari ini.
Pada Sabtu, enam gajah liar termasuk seekor anak gajah berusia tiga tahun, mati selepas terjatuh ke dalam Air Terjun Haew Narok di Taman Negara Khao Yai.
Tragedi itu dipercayai berlaku selepas hujan lebat apabila anak gajah berkenaan tergelongsor ke dalam air terjun itu manakala gajah yang lain cuba untuk menyelamatkan diri antara satu sama lain daripada jatuh ke dalam air terjun itu.
Jabatan Taman Negara, Hidupan Liar dan Pemuliharaan Tumbuhan dimaklumkan mengenai kejadian itu pada 3.00 petang (waktu tempatan) pada Sabtu. Mereka menemui bangkai anak gajah itu dan lima yang lain kemudian.
Kejadian yang seumpama berlaku pada 1992 melibatkan lapan ekor gajah yang dihanyutkan di kawasan air terjun yang sama dan mati.
Taman seluas 2,000 kilometer persegi itu menempatkan kira-kira 300 gajah liar dan terletak di daerah Pak Phli, Nakhon Nayok. Taman itu merangkumi empat wilayah -- Nakhon Ratchasima, Prachin Buri, Nakhon Nayok dan Saraburi.
-- BERNAMA
#Air Terjun Haew Narok
#bangkai gajah liar
#gajah
#Jabatan Taman Negara
#Nakhon Ratchasima
#Natthapong Sirichana
#Prachin Buri
#Taman Negara Khao Yai