Lima gaun malam mendiang Puteri Diana dilelong

AFP
Disember 7, 2014 22:09 MYT
Gaun yang pernah dipakai mendiang Puteri Diana berjaya dilelong di Beverly Hills. - Foto AFP
Lima gaun yang direka dan pernah dipakai oleh mendiang Puteri Diana telah dilelong di Los Angeles, Amerika Syarikat (AS) dengan nilai keseluruhan berjumlah setengah juta dolar.
Tiga daripadanya direka oleh pereka British Catherine Walker, iaitu pereka fesyen kegemaran Diana yang juga teman rapatnya. Sepersalinan gaun lagi adalah hasil sentuhan Caroline Charles dan satu lagi oleh Zhara Rhodes.
Gaun-gaun rekaan Catherine Walker semuanya berjaya dilelong pada harga yang dijangka iaitu antara AS$60,000 dan AS$80,000. Salah satu rekaannya yang bergaya lepas bahu berwarna merah jambu dan bertatah mutiara, kaca hias dan manik berjaya dilelong pada harga AS$75,000.
Selain itu sehelai gaun kemban sutera rona putih gading akhirnya dimiliki pembida pada harga AS$76,800, sementara sehelai gaun georgette sutera chartreuse yang dipakai Diana pada tahun 1993 dilelong pada harga AS$81,250.
Gaun malam Zandra Rhodes pula akhirnya berjaya dilelong pada harga AS$100,000.
Dres bulu burgundi Caroline Charles adalah yang paling mengejutkan ramai kerana ia mencapai nilai lelongan berjumlah AS$125,000, sekali gus jauh mengatasi jangkaan nilai lelongan awal iaitu antara AS$20,000 hingga AS$40,000.
Semua gaun itu dilelong dalam sesi lelongan di Beverly Hills bersama-sama barangan lain yang mempunyai kaitan dengan Diana.
#Beverly Hills #Caroline charles #catherine walker #gaun #lelong #Puteri Diana #zhara rhodes
;