Lima cedera, ratusan dipindahkan dalam insiden kebakaran pusat penapisan minyak

Agensi
Mac 29, 2021 11:43 MYT
Ifki Sukarya mengesahkan lima orang melecur akibat kebakaran itu dan telah dihantar ke hospital berhampiran untuk menerima rawatan. -Gambar REUTERS
JAKARTA: Sekurang-kurangnya lima cedera apabila sebuah pusat penapisan minyak milik syarikat Pertamina di Indramayu, Jawa Barat, Indonesia meletup lalu terbakar.
Agensi berita Reuters melaporkan kejadian itu mengakibatkan kira-kira 950 penduduk berhampiran terpaksa dipindahkan ke tempat yang lebih selamat.
Rumah serta masjid yang berhampiran loji berkenaan turut dilaporkan mengalami kerosakan, kesan letupan yang kuat.
Jurucakap Pertamina, Ifki Sukarya mengesahkan lima orang melecur akibat kebakaran itu dan telah dihantar ke hospital berhampiran untuk menerima rawatan.
"Punca kebakaran setakat ini masih belum diketahui, tetapi kejadian berlaku ketika hujan lebat dan petir," katanya di sini, pada Isnin.
Pertamina dalam kenyataan memaklumkan, loji minyak Pertamina Balongan yang terbakar kira-kira pukul 12.45 tengah malam tadi mampu memproses sehingga 125,000 tan minyak sehari.
Beberapa video kebakaran turut tular di media sosial.
Insiden di Indramayu | Pusat penapisan PT Pertamina meletup
Seorang penduduk yang hanya mahu dikenali sebagai Susi memberitahu dia terjaga dari tidur selepas terhidu bau asap minyak dan petir yang kuat.
"Apabila keluar dari rumah, saya nampak langit berubah warna seolah-olah jingga," katanya.
BACA: Pusat penapisan minyak Indonesia terbakar
#loji minyak #terbakar #meletup #Joko Widodo #Indonesia #cedera #dipindahkan ' #tempat selamat #Pertamina Balongan #mangsa #Hospital
;