Lima calon vaksin COVID-19 China masuk ujian fasa akhir, mungkin lebih murah
Astro Awani
November 18, 2020 13:16 MYT
November 18, 2020 13:16 MYT
KUALA LUMPUR: Terdapat lima calon vaksin COVID-19 yang telah memasuki ujian percubaan fasa ketiga di China setakat ini dan antara yang paling disebut-sebut adalah vaksin Coronavac dihasilkan syarikat Sinovac Biotech dan Sinopharm oleh syarikat China National Biotec Group (CNBG).
Dilaporkan seramai 60,000 individu telah menerima suntikan vaksin Sinovac melalui Program Kecemasan yang dilancarkan Beijing sejak Julai lalu.
Menurut Wartawan Radio Antarabangsa China (CRI), Zhang Hong, keputusan ujian percubaan fasa ketiga masih belum diumumkan syarikat farmaseutikal yang membangunkan vaksin Sinovac dan Sinopharm adalah disebabkan lokaliti ujian itu diadakan.
"Sebagai contoh, vaksin dari China menjalani ujian percubaan fasa ketiga di Brazil dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) yang mempunyai kadar jangkitan lebih rendah berbanding Amerika Syarikat ketika ini yang menyaksikan lonjakan kes baharu.
"Justeru itu, itu akan memakan masa yang lama untuk mengumpul data bagi kesemua sukarelawan yang dibahagikan kepada dua kumpulan iaitu penerima vaksin dan suntikan palsu atau plasebom" katanya kepada Astro AWANI, pada Rabu.
Mengulas lanjut, Hong berkata, China tidak berada dalam keperluan mendesak untuk mendapatkan vaksin kerana negara itu hanya mempunyai risiko kes import yang rendah dan barangan import yang diterima mempunyai kesan virus pada bungkusan.
"Hanya pekerja di pelabuhan dan lapangan terbang yang berisiko dijangkiti virus itu dan itulah cabaran besar China setakat ini untuk mengawal kes penularan.
"Kita boleh lihat kehidupan masyarakat di China telah kembali seperti normal namun perlu mengamalkan prosedur operasi standard (SOP) dan norma baharu seperti pemakaian pelitup muka, penjarakan fizikal dan amalan kebersihan," jelasnya.
Menurut Data Johns Hopkins University, China merekodkan keseluruhan 91,885 kes jangkitan dengan 4,742 kematian setakat ini.
Ditanya sama sekiranya vaksin yang dihasilkan di China lebih murah daripada vaksin yang dihasilkan di Amerika Syarikat dan Eropah, Hong berkata perkara itu sudah dinyatakan oleh pemimpin China berulang kali.
"Dalam Sidang Kemuncak ASEAN baru-baru ini pemimpin China menegaskan ASEAN akan diutamakan setelah vaksin China berjaya dihasilkan serta akan disenaraikan sebagai produk awam yang mampu dibayar oleh semua negara membangun.
"Walaupun beberapa syarikat farmaseutikal telah mengumumkan harganya, namun itu bukanlah matlamat kerana ini merupakan cabaran global jadi ia memerlukan satu bentuk penyelarasan.
"Jadi harganya mungkin lebih murah berbanding negara-negara barat dan paling penting tidak kira berapa harganya, dari mana datangnya vaksin ia merupakan satu berita gembira kepada seluruh umat manusia sekiranya berjaya dihasilkan dengan berkesan," ujar beliau.
#COVID-19
#virus
#China
#ASEAN
#Brazil
#UAE
#calon
#vaksin
#Coronavac
#Sinovac Biotech
#Sinopharm
#Zhang Hong