Lima calon akhir PM UK berdebat di televisyen
Astro Awani
Julai 16, 2022 08:15 MYT
Julai 16, 2022 08:15 MYT
LONDON: Lima calon yang bertanding untuk jawatan Perdana Menteri Britain akan berentap dalam tiga pusingan debat yang disiarkan secara langsung.
Pusingan pertama akan berlangsung hari ini.
Pada awalnya 11 calon umum bertanding bagi menggantikan Boris Johnson.
Namun bilangannya kini berkurangan kepada lima, susulan dua pusingan undian yang dijalankan Parti Konservatif.
Sehingga kini tiada calon mutlak mendahului persaingan.
Bekas Menteri Kewangan, Rishi Sunak ketika ini mendahului dengan dua undi.
Bagaimanapun beliau berdepan cabaran dari Menteri Luar Liz Truss yang mendapat sokongan majoriti Ahli Parlimen kanan.
Turut beri cabaran kepada Sunak adalah Menteri Perdagangan Penny Mordaunt, yang dianggap paling popular dalam kalangan Parti Konservatif.
Dua lagi calon adalah bekas menteri kabinet Kemi Badenoch dan Pengerusi Jawatankuasa Hubungan Luar Parlimen, Tom Tugendhat.
Perdana Menteri baharu berdepan cabaran menangani inflasi dan pertumbuhan ekonomi perlahan, serta isu keyakinan rakyat yang menurun susulan pentadbiran Johnson yang dibayangi skandal.