Lima anggota polis Thai cedera akibat serangan bom di Sungai Golok

Bernama
Mei 6, 2017 11:55 MYT
Sungai Golok yang memisahkan Malaysia dan Thailand itu hanya mempunyai kelebaran tidak lebih 20 meter dan menjadi laluan kegemaran kepada kumpulan penyeludup serta penjenayah. - Gambar fail
Lima anggota polis sempadan Thailand cedera dalam serangan bom di Kampung Tok Jamu, Mukim Nanak berhampiran Sungai Golok di sempadan Malaysia-Thai kira-kira 6 petang semalam (waktu tempatan).
Ketua Polis Daerah Takbai Kol Wacharapol Na Bakorn berkata bom buatan sendiri seberat 20kg itu dipercayai diletupkan oleh beberapa individu yang bersembunyi di seberang Sungai Golok yang terletak di dalam wilayah Malaysia.
"Wayar yang diguna untuk meledakkan bom itu ditarik dari seberang Sungai Golok di dalam wilayah Malaysia," katanya kepada pemberita hari ini, dan menambah, bom itu diletakkan di dalam tong gas dan diledak mengguna bateri.
Menurut Wacharapol, anggota polis sempadan itu menaiki trak pikap sedang pulang daripada melakukan rondaan ketika serangan bom itu berlaku dan kesemua yang cedera dihantar ke hospital berdekatan untuk mendapatkan rawatan,
Sungai Golok yang memisahkan Malaysia dan Thailand itu hanya mempunyai kelebaran tidak lebih 20 meter dan menjadi laluan kegemaran kepada kumpulan penyeludup serta penjenayah sejak dahulu.
-- BERNAMA
#bom #serangan #Sungai Golok #Thailand
;