Liga Super Eropah: Ia seperti kartel yang menghalang persaingan, kata Boris Johnson

Astro Awani
April 21, 2021 08:42 MYT
Boris Johnson bercakap pada sidang media di 10 Downing Street, London, 20 April, 2021. (Foto AP)
BORIS Johnson pada Selasa menyifatkan rancangan pembentukan Liga Super Eropah (ESL) seperti satu 'kartel' dan mengulang kenyataannya membantah perkara itu.
Perdana Menteri Britain itu berkata, beliau akan bekerjasama dengan persatuan bola sepak kebangsaan England (FA) untuk "menentang inisiatif tersebut."
Beliau juga tidak menolak kemungkinan menggunakan pendekatan undang-undang jika usahanya gagal.
"Langkah pertama kita tentunya untuk menyokong pihak berkuasa bola sepak di negara ini, termasuk FA, Liga Perdana (EPL) dan langkah-langkah yang diambil untuk menentang inisiatif tersebut.
"Tetapi, yang pastinya, kita tidak menyokongnya, tidak menyokong penubuhan ESL, saya rasa ia tidak menguntungkan peminat, tidak menguntungkan bola sepak.
"Bagaimana ia dikatakan satu tindakan yang betul apabila anda mencipta seperti satu 'kartel' yang menghalang kelab daripada bersaing antara satu sama lain, sambil memberi harapan dan keterujaan kepada peminat?
"Saya rasa ia berlawanan dengan prinsip asas persaingan. Dan, jika perlu, demi melindungi prinsip persaingan, kita akan cari solusinya menerusi undang-undang.
"Bagaimanapun, kami harap mereka dapat menyelesaikan perkara ini sesama sendiri," kata Johnson pada satu sidang media di London.
Ahad lalu, 12 kelab terkemuka Eropah mengumumkan setuju menyertai saingan ESL yang dirancang akan menyaingi Liga Juara-juara Eropah (UCL).
Cadangan berkenaan mencetus kemarahan pelbagai badan kawal selia bola sepak.
Bagaimanapun, ketua pertandingan Florentino Perez menegaskan, tujuan utama ESL ditubuhkan adalah demi menyelamatkan industri bola sepak.
#bola sepak #EPL #Boris Johnson #undang-undang #Britain #Liga Super Eropah #persaingan #England #kartel #esl
;