Liga Arab, Palestin kecam pembukaan pejabat Republik Czech di Baitulmuqaddis
Astro Awani
Mac 14, 2021 08:08 MYT
Mac 14, 2021 08:08 MYT
RAMALLAH: Palestin dan Liga Arab mengecam pembukaan pejabat diplomatik Republik Czech di Baitulmuqaddis dan anggap ia sebagai pelanggaran undang-undang antarabangsa.
Prague membuka cawangan kedutaan di Baitulmuqaddis yang terletak di Tel Aviv, pada Khamis.
Perasmian itu dihadiri oleh Perdana Menteri Republik Czech, Andrej Babis.
Kementerian Luar Palestin menyebut tindakan Prague itu sebagai serangan terang-terangan terhadap rakyat Palestin dan hak mereka.
Malah pelanggaran nyata menyalahi undang-undang antarabangsa sekali gus dibimbangi mendatangkan bahaya kepada prospek perdamaian di Asia Barat.
Di Kaherah, Setiausaha Agung Liga Arab, Ahmed Aboul Gheit berkata, status undang-undang Baitulmuqaddis akan dipengaruhi oleh keputusan satu negara atau negara lain untuk membuka pejabat perwakilan.
Baitulmuqaddis Timur adalah tanah yang dijajah berdasarkan undang-undang antarabangsa.
Menggariskan bahawa pejabat Baitulmuqaddis bukan kedutaan, Kementerian Luar Republik Czezh menyatakan, itu bertujuan untuk memperkuatkan kerjasama strategik Prague dengan Israel.
Status Baitulmuqaddis menjadi duri dalam daging konflik Israel-Palestin sejak sekian lama dengan ia gagal diselesaikan sehingga kini.
Hanya dua negara yang memiliki kedutaan penuh di Baitulmuqaddis iaitu Amerika Syarikat dan Guatemala.