Liga Arab keluarkan deklarasi, desak tindakan punitif terhadap Israel atas genosid di Gaza
Bernama
Oktober 23, 2024 11:48 MYT
Oktober 23, 2024 11:48 MYT
KAHERAH: Liga Arab mengeluarkan deklarasi pada Selasa selepas mesyuarat tergempar wakil-wakil tetap untuk membincangkan cara dan tindakan bagi mengakhiri pembunuhan beramai-ramai di Gaza oleh Israel, mendesak pelaksanaan tindakan punitif yang ditetapkan sebelum ini ke atas Tel Aviv sebagai respons terhadap perang genosid terhadap rakyat Palestin.
Ringkasan AI
- Mesyuarat tergempar di Kaherah mendesak tindakan punitif terhadap Israel untuk mengakhiri pembunuhan beramai-ramai di Gaza.
- Liga Arab mengkritik Amerika Syarikat kerana terus memberikan bantuan ketenteraan kepada Israel.
- Liga Arab menyokong kes genosid terhadap Israel di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) dan mendesak Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) untuk mengeluarkan waran tangkap terhadap pemimpin Israel.
Wakil-wakil Liga Arab dalam satu kenyataan yang dikeluarkan selepas mesyuarat tergempar di Kaherah, menekankan usaha-usaha Liga Arab dan antarabangsa yang diselaraskan untuk menamatkan "jenayah genosid, pengusiran paksa dan pembersihan etnik terhadap rakyat Palestin."
Kenyataan itu mengutuk peningkatan kekejaman terutamanya di utara Gaza, ketika pasukan Israel menjalankan rancangan sistematik untuk mengosongkan kawasan itu di tengah-tengah ketidakupayaan antarabangsa.
Liga Arab juga mengkritik Amerika Syarikat kerana terus menyediakan bantuan ketenteraan kepada Israel, di samping menyeru tindakan lebih kuat untuk memastikan para pegawai Israel bertanggungjawab, seperti menggantung penyertaan mereka dalam Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan mengambil tindakan undang-undang di mahkamah antarabangsa.
Mesyuarat turut mendesak penguatkuasaan sekatan terhadap Israel, merujuk kepada sidang kemuncak dan menteri sebelum ini.
Liga itu menekankan langkah-langkah seperti menggantung penyertaan Israel dalam Perhimpunan Agung PBB dan melabelkan organisasi pendudukan Israel sebagai entiti pengganas.
Organisasi negara-negara Arab juga menyokong kes genosid terhadap Israel di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) dan mendesak Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) untuk mengeluarkan waran tangkap terhadap Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu serta Menteri Pertahanan Yoav Galant atas peranan mereka dalam genosid yang sedang berlaku.
Ia juga mengkritik usaha Israel untuk mengganggu operasi kemanusiaan, seperti sasaran terhadap kemudahan agensi PBB untuk pelarian Palestin (UNRWA) dan cadangan undang-undang Tel Aviv yang mengharamkan operasi agensi itu di Israel dan wilayah yang diduduki.
Mesyuarat itu diadakan selepas keganasan terus meningkat di Gaza sejak 7 Okt 2023.
-- BERNAMA