Liga Arab kecam penolakan Knesset Israel terhadap negara Palestin

Bernama
Julai 19, 2024 04:30 MYT
Ahmed Aboul menegaskan bahawa pengumuman itu mendedahkan niat sebenar pendudukan Israel terhadap rakyat Palestin dan hak sah mereka. - Foto Reuters
KAHERAH: Setiausaha Agung Liga Arab Ahmed Aboul Gheit mengecam pengumuman Knesset Israel yang menolak penubuhan negara Palestin, lapor Agensi Berita Emiriah (WAM).
Beliau menegaskan bahawa pengumuman itu, bersama dengan justifikasi yang tidak sah, mendedahkan niat sebenar pendudukan Israel terhadap rakyat Palestin dan hak sah mereka.
Hak-hak ini termasuk penubuhan sebuah negara merdeka di atas tanah yang diduduki sejak 4 Jun 1967.
Jamal Rushdi, jurucakap rasmi Setiausaha Agung Liga Arab, menyatakan bahawa pengumuman itu bertepatan dengan tindakan Menteri Israel Itamar Ben-Gvir yang menceroboh kawasan Masjid Al-Aqsa.
Aboul Gheit mengesahkan bahawa penolakan Knesset bertujuan untuk menghalalkan pendudukan dan menormalkan penodaan tapak suci, yang menjejaskan penyelesaian dua negara dan menolak usaha damai yang dicari oleh masyarakat antarabangsa.
-- BERNAMA
#Liga Arab #kecam #Knesset #Israel #negara Palestin #Ahmed Aboul Gheit