Liga Arab beri kata dua kepada Iran agar tolak keganasan
Agensi
Januari 11, 2016 09:50 MYT
Januari 11, 2016 09:50 MYT
Tindakan yang akan di kenakan ke atas Iran susulan rusuhan di kedutaan Arab Saudi di Tehran tertakluk kepada sebuah badan khas yang ditubuhkan Liga Arab.
Perkara tersebut diputuskan Liga Arab yang pada masa sama menggesa Tehran menghentikan sokongan kepada kumpulan tertentu terutamanya pengganas.
Setiausaha Agung Liga Arab, Adel Al Jubeir berkata sebelum jawatankuasa khas siasatan dibentuk liga tersebut, Iran terlebih dahulu perlu menghentikan sebarang sokongannya terhadap pergerakan keganasan.
Kesatuan tersebut melihat kepatuhan Iran mengikuti keseluruhan dasar yang telah ditetapkan sebelum ini dapat menjamin keselamatan dan kedamaian di rantau itu.
"Jika Iran mahu menggalas peranan positif di rantau ini, perlulah berurusan dengan negara-negara jiran mereka. Seperti yang berlaku di seluruh dunia, mereka perlu mempunyai hubungan baik dan tidak mencampuri dalam urusan lain, menolak keganasan dan tidak menyokongnya.
“Jika Iran berbuat sedemikian, tidak mustahil untuk rantau ini berada dalam keamanan. Namun jika mereka menyokong tekanan, keganasan dan ancaman kumpulan tertentu, Liga Arab akan menolak mereka,” ujar Adel.
Gesaan itu dibuat Adel ketika sesi sidang tergempar Liga Arab di Kaherah bagi membincangkan isu Iran dan isu pergolakan negara ahli.
Tambahnya, jawatankuasa yang bakal dibentuk itu nanti akan diwakili beberapa negara Liga Arab.
Perbincangan khusus akan dibuat bagi menentukan tindakan ataupun hukuman yang bakal diterima Iran sekiranya masih berdegil.