Libya: Warga asing ditahan atas kesalahan 'gerak dakyah Kristian'
Astro Awani
Februari 17, 2013 07:10 MYT
Februari 17, 2013 07:10 MYT
Pihak berkuasa Libya menahan sekumpulan warga asing yang didakwa menggerakkan dakyah Kristian di negara itu.
Mereka yang ditahan merupakan empat warga asing dari Amerika Syarikat, Afrika Selatan, Korea, dan Mesir.
Penahanan dilakukan susulan penemuan sebuah kedai yang menjual buku-buku agama Kristian di Benghazi.
“Kami adalah 100 peratus negara Islam, isu ini tidak boleh dirunding. Ia dilarang untuk mengajak memasuki agama lain di Libya kerana ia sebuah negara Islam sepenuhnya,” kata pegawai polis cawangan Keselamatan Pencegahan Hussein Hamid.
Kira-kira 45 ribu buku-buku serta kitab-kitab injil sudah dicetak dan 25 ribu daripadanya dipercayai telah diedar.
Perundangan Libya mengharamkan sebarang activiti menyebarkan agama lain selain Islam.
Tahun lalu, sekumpulan pemberontak menyerang pejabat jawatankuasa palang merah antarabangsa yang didakwa turut terlibat menggerakkan agenda kristianisasi disebalik operasi kemanusiannya.
Dalam perkembangan lain, penduduk Libya menyambut ulangtahun kedua revolusi yang menggulingkan Muammar Gaddafi.
RIbuan penduduk Benghazi memenuhi Dataran Pembebesan dan menanam harapan penyatuan Afrika Utara dapat dijayakan.
"Saya berasa bebas, terima kasih kepada Tuhan, kita tabik orang yang membuat negara ini bebas, dan Libya akan ke hadapan, dan kita ingin hidup dalam keadaan aman damai,” kata, Fatima al-Migrahi, seorang pemastautin Benghazi.
Masyarakat berharap proses pendemokrasian yang sedang berjalan tidak meminggirkan agenda memperkasakan Islam.
Pada masa yang sama, mengekalkan perundangan Syariah sebagai tonggak perundangan negara.