Libya masih bergelut kembalikan kedaulatan

Astro Awani
Oktober 21, 2013 02:16 MYT
Dua tahun selepas pembunuhan Muammar Gadhafi, Libya masih bergelut bagi mengembalikan kedaulatan negara itu.
Hakikat yang perlu diterima kerajaan, kematian tragis Gadhafi belum mampu menamatkan sengketa di negara itu, sebaliknya mencambahkan lagi bilangan militan bersenjata.
Perkara ini diakui sendiri Perdana Menteri Libya Ali Zeidan.
“Kerajaan mengambil tugas ini dan terpaksa berdepan cabaran sebegini. Perkara yang mendorong kerajaan menerima tugas ini adalah atas dasar ia satu tanggungjawab yang perlu dilaksanakan,” kata Zeidan.
Zeidan minggu lalu telah diculik oleh sekumpulan militan bersenjata sebelum dibebaskan beberapa jam kemudian.
Menurut beliau kumpulan bersenjata ini lahir daripada kebangkitan rakyat menentang pemerintahan Gadhafi ketika perang saudara lapan bulan pada 2011.
Tegasnya kerajaan tiada pilihan selain bergantung kepada kumpulan ini selepas ketiadaan pasukan polis dan pasukan tentera kebangsaan yang sebelum ini patuh kepada rejim Gadhafi.
Untuk rekod sejak dua tahun lalu bilangan anggota militan bersenjata bertambah dari puluhan ribu kepada hampir 200,000 orang.
#Ali Zeidan #Bergelut #kedaulatan #Libya #muammar gadhafi