Libya: EU gesa senarai hitam pihak terbabit seludup manusia

Bernama
Julai 11, 2018 04:20 MYT
Tajani mencadangkan pusat pelarian ditubuhkan 'di sempadan antara Niger dan Libya' bagi membolehkan mereka diasingkan dalam kumpulan pencari suaka dengan 'migran ekonomi'. - Gambar fail
Ketua Parlimen Eropah, Antonio Tajani menggesa mereka yang terbabit dengan penyeludupan manusia disenaraihitamkan, sebagai usaha untuk menghentikan aliran kemasukan migran dari Afrika ke Eropah.
Kesatuan Eropah kini bergelut dengan isu penghijrah dari Afrika dan Timur Tengah, yang turut mengundang beberapa kontroversi pada minggu lalu susulan usaha membendung kebanjiran migran.
Sindiket penyeludupan manusia di Afrika Utara mengambil kesempatan daripada keadaan huru hara di Libya yang telah meletus sejak 2011.
"Kita perlu bertindak dengan menyenaraihitamkan mereka yang terbabit dalam penyeludupan...supaya polis dan penguatkuasa undang-undang di Afrika dan Eropah boleh bekerjasama," kata Tajani selepas bertemu dengan pemimpin kerajaan Libya yang disokong antarabangsa, di Tripoli.
"Sekiranya kita tidak berjaya musnahkan organisasi jenayah itu, amat sukar untuk memerangi masalah imigrasi haram."
Itali dan Greece telah mencatatkan bilangan migran paling ramai menyeberangi Mediterranean untuk ke negara Kesatuan Eropah.
Tajani turut mencadangkan pusat pelarian ditubuhkan "di sempadan antara Niger dan Libya" bagi membolehkan mereka diasingkan dalam kumpulan pencari suaka dengan "migran ekonomi".
Memandangkan laluan melintasi Libya ditutup dan pengawal pantai meningkatkan rondaan, sindiket penyeludupan manusia, beralih arah menggunakan laluan Maghribi ke Sepanyol.
Libya dicengkam konflik disebabkan perpecahan, apabila Kerajaan Kebangsaan di Tripoli yang disokong Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di bawah pimpinan Fayez al-Sarraj di Tripoli, ditentang oleh pengikut kuat Khalifa Haftar di timur negara itu.
-- BERNAMA-NNN-AGENCIES
#Afrika #Antonio Tajani #ekonomi #eropah #haram #imigrasi #Kesatuan Eropah #Libya #migran #Parlimen #pelarian #seludup #sempadan #sindiket #suaka #Tripoli