Letusan 'phreatic' kecil direkodkan semula di Gunung Berapi Taal

Bernama
September 26, 2024 19:45 MYT
Letusan itu direkodkan pada pukul 12.39 tengah hari dan menghasilkan kepulan setinggi 2,400 meter. - AP
MANILA: Institut Volcanology dan Seismology Filipina (Phivolcs) telah merekodkan satu lagi letusan phreatic kecil di Gunung Berapi Taal pada Khamis, lapor Agensi Berita Filipina (PNA).
Letusan itu direkodkan pada pukul 12.39 tengah hari dan menghasilkan kepulan setinggi 2,400 meter. Phivolcs juga merekodkan letusan phreatic kecil pada Rabu.
"Letusan phreatic adalah perkara biasa bagi gunung berapi aktif. Ia juga normal bagi sesetengah gunung berapi aktif untuk mengalami banyak letusan phreatic dalam tempoh masa yang singkat, seperti di Taal," kata Pengarah Phivolcs, Teresito Bacolcol kepada PNA.
Beliau berkata, letusan phreatic boleh berlaku berturut-turut selagi batuan atau gas panas gunung berapi berinteraksi dengan air.
Ini menyebabkan letusan berasaskan wap yang melepaskan wap, abu dan serpihan batu.
Sejumlah 36 letusan phreatic telah direkodkan di Taal sejak April lepas.
Gunung berapi itu masih berada di bawah Tahap Amaran 1 (keadaan tidak normal), yang bermaksud letusan wap secara tiba-tiba atau letusan phreatic, gempa bumi gunung berapi, hujan abu kecil, serta pengumpulan atau pelepasan gas gunung berapi yang boleh membawa maut boleh berlaku dan mengancam kawasan di dalam Pulau Gunung Berapi Taal (TVI), zon bahaya tetap Taal.
Phivolcs mengesyorkan supaya TVI terus dilarang untuk dimasuki, kerana letusan phreatic boleh berlaku pada bila-bila masa, walaupun pada Tahap Amaran 0.
-- BERNAMA
#gunung berapi #Taal #Filipina #letusan
;