Letusan Gunung Ruang: Gelombang tsunami boleh capai 25 meter

Astro Awani
April 19, 2024 08:00 MYT
Potensi tsunami boleh berlaku sekiranya bahan letusan Gunung Ruang jatuh ke dalam laut dan menyebabkan paras air laut meningkat. - Foto REUTERS
JAKARTA: Badan geologi, Kementerian Tenaga dan Sumber Daya Mineral Indonesia memberi amaran potensi ketinggian gelombang tsunami akibat letusan Gunung Ruang di Kabupaten Sitaro, Sulawesi utara boleh mencapai 25 meter.
Ketua pasukan kerja gunung berapi, Heruningtyas berkata, potensi tsunami ini mengancam di kawasan sebelah barat Pulau Tagulandang.
Menurutnya, berdasarkan rekod, potensi tsunami berada pada ketinggian 25 meter dan ia sangat berbahaya.
Heruningtyas menjelaskan, potensi tsunami yang disampaikan pihaknya mencerminkan sejarah letusan Gunung Ruang pada Mac 1871.
Ketika itu, ombak melanda pantai Tagulandang dengan ketinggian dianggarkan 25 meter.
Menurutnya, bencana itu meragut 300 hingga 400 nyawa.
Heruningtyas berkata, potensi tsunami boleh berlaku sekiranya bahan letusan Gunung Ruang jatuh ke dalam laut dan menyebabkan paras air laut meningkat.
Menurutnya, orang ramai dalam jarak enam kilometer dari Gunung Ruang perlu segera berpindah.
Ujar beliau, orang ramai di Pulau Tagulandan khususnya yang tinggal berhampiran pantai harus sedar mengenai potensi letupan batu pijar, awan panas dan tsunami akibat runtuhan badan gunung berapi ke dalam laut.
#Gunung Ruang #tsunami #Pulau Tagulandang #gunung berapi
;