Letusan Gunung Lewotobi: Indonesia pindahkan 250 keluarga ke rumah sementara
Bernama
Februari 23, 2025 21:45 MYT
Februari 23, 2025 21:45 MYT
Kerajaan Indonesia telah menempatkan semula 250 keluarga yang terjejas akibat letusan Gunung Lewotobi Laki-Laki di Nusa Tenggara Timur dari pusat perlindungan pelarian ke rumah sementara. - Gambar fail/BERNAMA
JAKARTA: Kerajaan Indonesia telah menempatkan semula 250 keluarga yang terjejas akibat letusan Gunung Lewotobi Laki-Laki di Nusa Tenggara Timur dari pusat perlindungan pelarian ke rumah sementara, lapor agensi berita ANTARA yang memetik Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB).
"Dengan tambahan 10 keluarga, sebanyak 250 keluarga telah dipindahkan dari pusat pemindahan sementara ke rumah sementara," kata Pengarah Bantuan Mangsa dan Pelarian BNPB, Nawan Harahap.
Bercakap dalam satu siaran video yang dipantau dari Jakarta pada Ahad, beliau berkata kerajaan telah menyediakan 50 rumah dupleks, yang kesemuanya kini diduduki sepenuhnya di bawah skim penginapan bersama.
Harahap turut memaklumkan bahawa anggota Tentera Nasional Indonesia (TNI) kini sedang membina 40 rumah dupleks tambahan bagi menempatkan 200 lagi keluarga yang terjejas akibat letusan gunung berapi itu.
Keluarga yang terjejas merupakan penduduk kampung di mukim Ile Bura, Titehena dan Wulanggitang di daerah Flores Timur, yang kehilangan tempat tinggal susulan letusan Gunung Lewotobi Laki-Laki pada November tahun lepas.
-- BERNAMA