Letusan gunung berapi NZ: Rakyat Malaysia antara yang hilang

Astro Awani
Disember 9, 2019 06:07 MYT
Jacinda Ardern (kanan) bercakap pada sidang media bersama Supt Bruce Bird di Whakatane, New Zealand, 10 Dis, 2019. (Foto AP)
PERDANA Menteri New Zealand Jacinda Arden mengesahkan pelancong dari Australia, Amerika Syarikat, United Kingdom, China dan Malaysia merupakan antara mangsa yang hilang dan cedera berikutan ledakan gunung berapi di White Island.
Ketika kejadian, seramai 47 orang pelancong pergi ke pulau tersebut dan daripada jumlah itu, lima terbunuh, lapan masih hilang, 31 di hospital dan tiga lagi telah dibenarkan keluar dari hospital.
Menurut Polis Waikato Supt Bruce Bird pada Selasa, lapan orang yang masih hilang dianggap telah maut.
Bercakap pada sidang media di Whakatane pada Selasa, beliau berkata, fokus ketika ini adalah untuk kembali ke pulau tersebut dan mencari semula mangsa yang hilang.
Namun, ia hanya akan dilakukan apabila keadaan benar-benar selamat.
BACA: Gunung berapi New Zealand meletus, 20 dikhuatiri cedera
Ardern dalam pada itu mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa yang terkesan akibat kejadian itu.
Menurutnya, seperti yang dikemukakan polis pada malam sebelumnya, helikopter penyelamat dan pesawat Pasukan Pertahanan New Zealand (NZDF) telah melakukan beberapa penerbangan tinjauan udara di sekitar pulau itu sejak letusan berkenaan.
"Tiada tanda-tanda mangsa selamat dapat dilihat di mana-mana," katanya.
Bencana tersebut menimbulkan persoalan mengapa orang ramai dibenarkan melawat pulau itu yang terletak 50 kilometer dari New Zealand selepas para saintis mencatatkan peningkatan aktiviti gunung berapi sejak kebelakangan ini.
#cedera #gunung berapi #hilang #Jacinda Arden #mangsa #maut #New Zealand #pelancong #pulau #rakyat Malaysia #white island
;