Letusan gunung berapi La Soufriere boleh mempengaruhi iklim dunia

Astro Awani
April 16, 2021 06:34 MYT
Letusan gunung berapi La Soufriere pada 12 April memuntahkan abu setinggi 16 km di udara. - Foto AP/Orvil Samuel
SAINT VINCENT: Gunung berapi La Soufriere yang terletak di pulau Saint Vincent, Carribbean mula meletus pada 9 April 2021 dan memuntahkan abu setinggi 7.6 km di atas permukaan laut.
Kali terakhir gunung berapi meletus adalah pada 1979.
Seluruh pulau berkenaan serta pulau Barbados yang terletak 200 km pada arah barat, diselimuti abu.
Para saintis Pentadbiran Lautan dan Atmosfera (NOAA) serta NASA memberi amaran keadaan ini akan berlarutan sehingga beberapa minggu lagi.
Satu letupan pada 12 April lepas telah menyebabkan aliran piroklas, campuran abu dan gas yang bergerak dengan sangat pantas mengalir ke bawah gunung berapi tersebut.
Penduduk di sekeliling kawasan itu dipindahkan susulan letusan berkenaan dan gangguan bekalan elektrik turut dilaporkan.
Letusan gunung berapi sering menghasilkan awan kompleks yang boleh mempengaruhi perubahan iklim di seluruh dunia.
Menurut Pusat Penasihat Abu Gunung Berapi (VAAC) Washington, gunung berapi tersebut memuntahkan abu setinggi 16 km dalam beberapa hari lepas.
"Pada ketinggian ini, abu dan asap daripada pembakaran hutan yang tercetus akibat letusan ini kekal di dalam udara untuk tempoh yang lama yang boleh dirasai di seluruh dunia selama beberapa bulan.
"Ini boleh mempengaruhi radiasi matahari ke atas permukaan serta suhu Bumi," kata seorang saintis NASA, Colin Seftor.
#gunung berapi #La Soufriere #Saint Vincent #abu #Barbados #NASA
;