Letusan gunung berapi di Kepulauan Canary, kira-kira 10,000 penduduk dipindahkan
Reuters
September 19, 2021 05:47 MYT
September 19, 2021 05:47 MYT
LA PALMA: Sebuah gunung berapi di La Palma, pulau paling utara di Kepulauan Canary di Sepanyol, meletus menyaksikan lava dan kepulan asap memenuhi ruang udara Taman Negara Cumbre Vieja.
Pihak berkuasa telah memulakan proses pemindahan penduduk dari kampung sekitar Cabeza de Vaca sebelum letusan pada kira-kira jam 2.15 petang Ahad waktu tempatan.
Dua jam kemudian, dengan aliran lava menuruni lereng bukit, pihak berkuasa perbandaran mengeluarkan arahan pemindahan kepada empat perkampungan lain, termasuk El Paso dan Los Llanos de Aridane.
Askar dikerahkan untuk membantu dan penduduk diminta untuk meminimumkan penggunaan telefon bimbit.
Pengawal Awam Sepanyol memaklumkan akan turut membantu dalam pemindahan yang membabitkan sehingga 10,000 penduduk dari kampung-kampung berhampiran gunung berapi itu.
Perdana Menteri Sepanyol, Pedro Sanchez telah menangguhkan perjalanannya ke Perhimpunan Agung PBB di New York dan sedang menuju ke La Palma.
Presiden Kepulauan Canary, Angel Victor Torres memaklumkan tiada kecederaan dilaporkan setakat ini, namun beberapa jalan dilaporkan runtuh.
La Palma berada dalam keadaan berjaga-jaga susulan lebih 22,000 gegaran dilaporkan dalam tempoh seminggu di Cumbre Vieja, rantaian gunung berapi yang kali terakhir mengalami letusan besar pada tahun 1971 dan merupakan salah satu kawasan gunung berapi yang paling aktif di kepulauan itu.