Letupan saluran paip Nord Stream angkara sabotaj
Astro Awani
Mac 22, 2023 06:30 MYT
Mac 22, 2023 06:30 MYT
WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) percaya letupan saluran paip gas Nord Stream di Lautan Baltik adalah disebabkan oleh perbuatan sabotaj.
Jurucakap keselamatan negara White House John Kirby berkata pada hari Rabu, AS membuat kesimpulan itu berdasarkan tiga siasatan yang dijalankan ke atas dua letupan itu oleh tiga rakan sekutunya.
Menurutnya, ketiga-tiga siasatan itu yang dijalankan secara berasingan masih berterusan tanpa sebarang tempoh masa ditetapkan.
Namun, beliau menafikan sekeras-kerasnya sebarang penglibatan AS dalam letupan Nord Stream.
Saluran paip Nord Stream 1 dan 2 yang menghubungkan Rusia dan Jerman di bawah Laut Baltik telah dilanda beberapa siri letupan yang tidak dapat dijelaskan pada September tahun lalu.
Denmark, Jerman dan Sweden telah menjalankan siasatan mereka sendiri terhadap letupan itu.
Penyiasat Sweden dan Eropah lain berkata serangan itu dilakukan dengan sengaja, tetapi mereka tidak menyatakan siapa yang mereka fikir bertanggungjawab.
Moscow, tanpa memberikan bukti, telah menyalahkan letupan atas sabotaj barat.