Letupan saluran paip gas asli di Laut Baltik dipercayai angkara sabotaj

Astro Awani
September 28, 2022 03:30 MYT
(Dari kiri) Menteri Pertahanan Denmark Morten Boedskov, Perdana Menteri Mette Frederiksen, Menteri Iklim Dan Joergensen dan Menteri Hal Ehwal Luar Negara Jeppe Kofod bercakap kepada media berhubung kejadian pada 27 September 2022. - Foto REUTERS
COPENHAGEN: Sabotaj dipercayai punca berlaku letupan di dua saluran paip gas asli di dasar Laut Baltik sehingga menyebabkan berlaku kebocoran gas.
Pihak berkuasa Denmark percaya, kejadian itu merupakan satu tindakan yang disengajakan oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab.
Laporan awal menunjukkan berlaku letupan yang kuat sebelum dua paip itu bocor.
Pemimpin dan pakar Eropah percaya kejadian itu ada kemungkinan perbuatan sabotaj di tengah-tengah kebuntuan tenaga dengan Rusia yang dicetuskan oleh perang di Ukraine.
Walaupun gas memenuhi kedua-dua saluran itu, tidak ada saluran paip yang membekalkannya ke Eropah pada masa ini.
Menurut Pengarah Rangkaian Seismik Kebangsaan Sweden, Bjorn Lund, letupan pertama direkodkan awal Isnin di tenggara Pulau Bornholm di Denmark.
Letupan kedua yang lebih kuat dikesan di timur laut pulau pada malamnya dengan kekuatan bersamaan dengan gempa bumi berukuran 2.3 magnitud.
Stesen seismik di Denmark, Norway dan Finland turut merekodkan gegaran akibat letupan.
#letupan saluran paip gas asli #Laut Baltik #angkara sabotaj #Bjorn Lund