Letupan periuk api ragut 4 nyawa di Hodeidah, Yemen

Bernama
Mac 6, 2025 22:22 MYT
Empat individu, termasuk seorang kanak-kanak, terkorban dalam bencana letupan periuk api di wilayah barat Yemen, Hodeidah. - Foto hiasan
SANAA: Empat individu, termasuk seorang kanak-kanak, terkorban dalam bencana letupan periuk api di wilayah barat Yemen, Hodeidah, kata pegawai perubatan tempatan pada Khamis.
Letupan berlaku pada petang Rabu di daerah Ad Durayhimi, di selatan wilayah tersebut, ketika mangsa berjalan di tepi jalan berhampiran pantai, menurut seorang pegawai perubatan kepada Xinhua, sambil menambah bahawa seorang mangsa meninggal dunia kemudian di hospital.
Hodeidah, yang penting untuk aliran makanan dan bantuan kemanusiaan ke negara yang dilanda peperangan itu, telah berada di bawah gencatan senjata yang dikelola oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sejak Disember 2018.
Namun, wilayah berkenaan sejak itu menyaksikan puluhan kejadian serupa yang disebabkan oleh periuk api dan bahan letupan yang tidak meletup yang ditinggalkan daripada pertempuran sebelumnya.
Pada Januari, Misi PBB untuk Menyokong Perjanjian Hodeidah melaporkan 41 kematian dan 52 kecederaan yang disebabkan oleh periuk api dan sisa letupan perang di wilayah Hodeidah sepanjang 2024.
Daerah selatan Ad Durayhimi, Al Hali dan At Tuhayat mencatatkan jumlah korban tertinggi.
Inisiatif pemusnahan periuk api oleh Arab Saudi di Yemen, yang dikenali sebagai Projek Masam, menyatakan bahawa pasukannya telah membersihkan 483,343 periuk api, bahan letupan yang tidak meletup dan peranti letupan buatan sendiri di pelbagai kawasan Yemen sejak 2018 sehingga Februari tahun ini.
-- BERNAMA
#letupan periuk api #Yemen #Hodeidah #Ad Durayhimi
;