Letupan lombong emas di China, 12 disahkan masih selamat
Astro Awani
Januari 18, 2021 15:41 MYT
Januari 18, 2021 15:41 MYT
SHANDONG: Pihak berkuasa China mengesahkan 12 daripada 22 pekerja yang terperangkap selepas sebuah lombong emas meletup di Yantai, Wilayah Shandong, masih selamat.
Ketika ini, ratusan pasukan penyelamat sedang berusaha mengeluarkan kesemua mangsa.
Keadaan 10 lagi pekerja bagaimanapun belum diketahui.
Media tempatan dalam pada itu turut mendedahkan usaha mengeluarkan kesemua mangsa pada malam Ahad.
Pihak berkuasa setakat ini berkomunikasi melalui nota yang ditulis mangsa dan dibawa keluar melalui kabel besi yang disalurkan ke dalam lombong berkenaan.
Nota itu menyatakan 12 pelombong cedera dan keadaan 10 individu lagi merosot susulan kekurangan oksigen serta lombong dimasuki air.
Letupan lombong yang terletak di Qxia itu berlaku pada 11 Januari lalu dan masih dalam proses pembinaan semasa kejadian.
Susulan kejadian, pengurus lombong ditahan kerana menunggu sehingga lebih 24 jam untuk membuat laporan mengenai letupan.
Ia berikutan mengikut peraturan, kejadian letupan perlu dilaporkan dalam tempoh sejam.