Letupan loji kimia China: 44 maut, 640 cedera

Astro Awani
Mac 22, 2019 03:45 MYT
Menurut media antarabangsa, kebakaran loji yang dikendalikan oleh kilang Tianjiayi Chemical itu telah merebak ke kilang-kilang berdekatan. - REUTERS
Satu letupan yang mencetuskan kebakaran di sebuah loji kimia di wilayah Jiangsu, Timur China, telah membunuh 44 orang dan mencederakan lebih 600 orang pada Khamis.
Menurut laporan media antarabangsa, kebakaran yang berlaku di Taman Perindustrian Chenjiagang itu berlarutan hingga ia akhirnya dapat dikawal pada jam 3 pagi Jumaat.
640 orang yang terselamat daripada letupan itu, termasuk 32 daripada mereka yang berada dalam keadaan kritikal, dibawa ke 16 hospital untuk menerima rawatan.
Tambahan pula, kebakaran loji yang dikendalikan kilang Tianjiayi Chemical itu telah merebak ke kilang-kilang berdekatan.
Kanak-kanak di sebuah tadika berdekatan juga dilaporkan turut cedera.
Menurut laporan media, syarikat itu, yang menghasilkan lebih 30 sebatian kimia organik, beberapa daripadanya sangat mudah terbakar, pernah dikecam kerana dipercayai wujud pelanggaran keselamatan kerja pada masa lalu.
Walaupun kerajaan China telah janji berulang kali untuk mengetatkan keselamatan, loji kimia negara itu tetap mengalami bencana.
Pada November tahun lepas, satu siri letupan yang berlaku semasa penghantaran gas mudah terbakar ke pengilang kimia telah membunuh 23 orang.
Penyebab sebenar letupan itu masih dalam siasatan.
#China #Jiangsu #letupan #letupan loji kimia #Tianjiayi Chemical Company