Letupan kuat gegarkan Manhattan, mangsa cedera digegas ke hospital

Agensi
September 18, 2016 10:16 MYT
Keadaan di lokasi kejadian, dengan orang ramai yang masih terpinga-pinga dengan kehadiran pasukan keselamatan. - Foto Twitter New York City Alerts.
Satu letupan kuat menggegarkan kejiranan Chelsea, Manhattan pada Sabtu malam, mencetuskan situasi panik hinggakan pasukan polis dan bomba kini berkawal di tempat kejadian, lapor Reuters.
Sekurang-kurangnya tiga orang telah dikejarkan ke hospital dengan menaiki ambulans, namun tahap kecederaan mereka belum dapat dipastikan.
Sementara itu, Jabatan Bomba New York melalui akaun Twitter rasmi mereka menyatakan bahawa 25 orang awam cedera dalam insiden itu.
Sebuah kereta dilihat bergerak keluar dari kawasan tersebut dengan cermin belakang yang pecah.
Setakat ini, pihak berkuasa sedang menyiasat laporan kejadian berkenaan.
Polis New York telah mengeluarkan notis untuk orang ramai terutamanya pengguna kenderaan di kawasan itu yang menyatakan ‘lalu lintas akan tergendala dan pasukan petugas kecemasan disediakan di persimpangan 23rd Street dan 7th Avenue’.
Orang awam juga dinasihatkan untuk tidak berada di kawasan tersebut.
Letupan itu, kata saksi, berlaku di 23rd Street, iaitu sebuah kawasan komersial di Chelsea.
#Chelsea #letupan #letupan manhattan #New York
;