Letupan Jakarta: Serpihan timah, kesan terbakar ditemukan pada tubuh mangsa
Astro Awani
Mei 25, 2017 10:36 MYT
Mei 25, 2017 10:36 MYT
Serpihan logam dipercayai timah ditemukan pada tubuh mangsa letupan bom di Jakarta, lapor portal Jawapos.com pada Khamis.
Mangsa, Yogi Aryo Yudistira, seorang anggota polis daerah Metro Jaya, mengalami kecederaan parah dengan hampir seluruh tubuhnya terkena serpihan logam yang "berukuran dua jari" itu.
Setakat jam 2.40 pagi waktu tempatan (3.40 pagi waktu Malaysia), beliau dan seorang lagi mangsa, Agung Nugroho, masih menjalani pembedahan di Rumah Sakit Premier Jatinegara di Jakarta Timur.
Sementara itu, portal itu turut melaporkan seorang mangsa yang terkorban, Taufan Tsunami, mengalami kecederaan parah seperti terbakar pada bahagian dadanya.
Beliau meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital.
Dalam pada itu, dua lagi mangsa Feri Nurcahya dan Jihan Thalib yang terselamat kini ditempatkan di wad untuk rawatan.