Letupan gegar kem pelarian Palestin, 12 maut

Astro Awani
Disember 10, 2021 06:58 MYT
Pasukan kecemasan bergegas ke tempat kejadian bagi membantu mangsa terjejas. - Foto REUTERS
BEIRUT : Sekurang-kurangnya 12 orang penghuni kem pelarian Palestin, Burj Shamali di selatan Lubnan maut dalam insiden letupan.
Letupan dipercayai berpunca daripada depot simpanan senjata kumpulan Hamas.
Tiada angka rasmi dikeluarkan berkaitan mangsa maut dan cedera.
Laporan awal menyebut, kebakaran bermula daripada satu lori tangki diesel.
Ia kemudian merebak ke masjid berdekatan yang dikawal kumpulan pejuang Palestin.
Kebakaran berkenaan kemudian mencetuskan letupan di gudang senjata yang disimpan di masjid berkenaan.
Media tempatan melaporkan Pendakwa Raya telah mengarahkan agensi keselamatan dan pakar senjata menjalankan pemeriksaan ke atas tapak simpanan senjata milik Hamas.
Lubnan menjadi tempat perlindungan ribuan pelarian Palestin.
Dipercayai sejumlah 12 kem pelarian wujud di sekitar negara itu.
Sebahagian besar kem pelarian ini pula berada di bawah kawalan kumpulan serpihan daripada pejuang Palestin, termasuk pergerakan Hamas dan Fatah.
#kem pelarian Palestin #letupan #depot simpanan senjata #Hamas
;