Letupan di taman tema air Taiwan, jumlah kecederaan meningkat

AFP
Jun 28, 2015 06:14 MYT
Lebih daripada 500 orang cedera, di mana hampir 200 orang cedera parah di dalam satu kejadian letupan di sebuah taman tema air di Taipei, Taiwan.
Lebih daripada 500 pengunjung cedera, di mana hampir 200 daripadanya parah dalam satu kejadian letupan di sebuah taman tema air di Taipei, Taiwan pada Sabtu.
Angka terbaru ini adalah dua kali ganda daripada angka asal yang dikenal pasti pihak berkuasa semalam.
Letupan dipercayai berpunca daripada bahan serbuk yang disembur ke atas pentas sehingga mencetuskan kebakaran sebelum ia menyambar ke arah lebih 1,000 hadirin.
Rakaman di laman web akhbar Apple Daily menunjukkan orang ramai sedang asyik menari dan muzik dimainkan ketika serbuk itu disembur dan tiba-tiba bertukar menjadi api.
Orang ramai dilihat berlari dalam ketakutan untuk menyelamatkan diri mereka sambil menjerit kerana disambar api.
Ada di antara mereka yang hanya berpakaian renang dan diselubungi serbuk itu.
Orang ramai yang hadir melihat kejadian itu turut kelihatan membantu dengan mencurahkan air pada mangsa.
Kebakaran di atas pentas telah berjaya dipadamkan oleh pihak bomba dengan pantas.
Kejadian berlaku sewaktu acara 'Color Play Asia' yang diadakan di lokasi di taman tema air 'Formosa Fun Coast'.
Menurut jurucakap jabatan kesihatan Taipei, angka rasmi mereka yang cedera adalah 509 orang dengan 188 daripadanya cedera parah.
Tempoh 24 jam akan datang masa kritikal buat mereka yang parah.
#cedera #Formosa Fun Coast #letupan #serbuk