Letupan di Jeti Sathorn Bangkok, tiada kecederaan dilaporkan
Agensi
Ogos 18, 2015 16:16 MYT
Ogos 18, 2015 16:16 MYT
Sebutir bom tangan dilaporkan dilempar di Jeti Sathorn di Bangkok sebentar tadi namun tiada kecederaan atau kemusnahan dilaporkan.
Lapor Bangkok Post, saksi melihat bom terbabit dilempar pada sekitar 1.20 petang waktu Bangkok (2.20 petang waktu Malaysia) dari Jambatan Sathorn ke arah tempat letak kereta di jeti terbabit namun melantun ke dalam air sebelum meletup.
Tiada sebarang laporan kecederaan atau kemusnahan dilaporkan.
Polis turut menutup Jalan Sathorn, laluan dari jeti menghala ke Stesen TBS Saphan Taksin.
Jeti Sathorn adalah terminal pengangkutan air Sungai Chao Phraya yang sarat dengan bot dan berhampiran stesen keretapi Skytrain Bangkok.
Ia juga tumpuan popular oleh pelancong dari China.
Sekurang-kurangnya 21 orang terbunuh termasuk pelancong dan berpuluh lagi cedera apabila sebutir bom meletup pada Isnin di luar sebuah kuil di tengah-tengah Bangkok yang sering dikunjungi pelancong.