Letupan di Istanbul: Ini serangan khianat, berbaur keganasan - Erdogan
Astro Awani
November 13, 2022 07:00 MYT
November 13, 2022 07:00 MYT
PRESIDEN Turkiye Recep Tayyip Erdogan menyifatkan letupan bom di laluan pejalan kaki utama di Istanbul pada Ahad sebagai 'serangan khianat'.
Erdogan berikrar, pelaku serangan yang mengorbankan enam nyawa itu akan dihukum.
Beliau tidak memberi sebarang gambaran tentang pihak mana yang mungkin bertanggungjawab ke atas serangan itu, tetapi menganggap ia 'berbau keganasan'.
"Mungkin salah jika kita katakan ini adalah keganasan dalam siasatan awal, tetapi berdasarkan perkembangan awal, maklumat yang disampaikan oleh gabenor kepada kita, ada bau keganasan di sini.
"Buat masa ini, ada orang yang lari dan sebagainya, siasatan awal mendapati seorang wanita memainkan peranan dalam insiden ini.
"Pemeriksaan oleh ketua polis Istanbul, gabenor kami dan pemeriksaan kamera, sedang diteruskan. Kami berharap dapat membuat keputusan muktamad pada penghujung semua ini," katanya.
Tambah Erdogan, siasatan sedang dijalankan oleh polis dan pejabat gabenor termasuk mengkaji rakaman litar tertutup (CCTV) di kawasan itu.
Sementara itu, Naib Presiden Turkiye, Fuat Oktay yang senada dengan Erdogan menyifatkan kejadian letupan bom di Istanbul sebagai 'tindakan pengganas'.
Tegas Oktay, sesiapa sahaja yang menjadi dalang serangan itu akan diburu walaupun di luar sempadan Turki malah ke hujung dunia sekalipun.
"Sesiapa yang menjadi dalang tindakan ini, hingga ke sempadan (Turkiye) bahkan ke hujung dunia, mereka akan ditangkap sama seperti kita menangkap pengganas lain.
"Sekali lagi, mereka akan dibawa ke Turkiye. Mereka akan diserahkan kepada mahkamah, walau apa jua sekalipun.
"Turkiye bukan Turkiye yang lama. Biar semua orang tahu ini," kata Oktay.
Pada Ahad, Istanbul dikejutkan dengan letupan bom yang mengorbankan enam nyawa dan mencederakan 56 yang lain.
Kejadian berlaku di Istiklal Avenue, jalan raya popular yang dipenuhi kedai dan restoran yang menghala ke Dataran Taksim.