Letupan di gereja: Pasangan suami isteri belajar buat bom secara dalam talian

Agensi
Mac 30, 2021 12:41 MYT
Pekerja Palang Merah dilihat membawa beg mayat yang mengisi cebisan tubuh pengebom bunuh diri di Gereje Katedral Makassar pada Ahad. - Reuters
JAKARTA: Pihak berkuasa Indonesia mendapati pasangan suami isteri suspek pengebom bunuh diri yang maut di Gereja Katedral Makassar, Indonesia pada Ahad, telah menerima latihan membuat bom secara dalam talian.
Reuters melaporkan, perkara itu didedahkan pihak Polis Republik Indonesia (Polri) pada Isnin.
Ketua Agensi Counter-Terrorism Indonesia, Rafli Amar berkata, pihaknya sudah mengenal pasti identiti suspek.
“Mereka adalah pasangan suami isteri muda dengan salah seorangnya lahir pada tahun 1995.
“Hasil siasatan menunjukkan bahawa mereka menerima latihan membuat bom sendiri secara dalam talian, dan komunikasi dibuat melalui jaringan media sosial yang dibangunkan mereka.
“Mereka sendiri yang menghasilkan bom tersebut, dengan seliaan orang kanan yang melatih mereka dari luar negara,” ujar Rafli Amar, merujuk kepada bom jenis periuk tekanan yang dihasilkan suspek.
Polri telah mengumumkan bahawa pasangan itu merupakan anggota Jamaah Ansharut Daulah, sebuah jaringan ekstremis yang biasa dirujuk sebagai JAD. Pasangan itu yang sebelum ini terlibat dalam pengeboman di Jolo, Filipina, juga dinikahkan oleh anggota senior gerakan tersebut.
Polri telah menaham empat orang di Jakarta dan Bekasi, yang dipercayai ada kaitan dengan insiden serangan berkenaan. Setiap daripada mereka memainkan peranan menyebarkan doktrin, merancang 'jihad', dan juga membeli material untuk digunakan dalam pembuatan bom.
BACA: Baru saja menikah, pasangan suami isteri nekad bunuh diri letupkan gereja Makassar
Pada Ahad pagi, dua suspek pengebom bunuh diri tiba di Gereja Katedral Makassar dengan menaiki motosikal.
Mereka cuba untuk memasuki ruang utama, namun seorang pengawal keselamatan menghalang mereka. Satu ledakan kuat menyusul sejurus kemudian, hingga mengorbankan pasangan itu dan mencederakan 20 yang lain.
BACA: Letupan di gereja Makassar: Jokowi kecam tindakan pengganas
#letupan #pengebom bunuh diri #gereja katedral makassar #Indonesia #jad #Jamaah Ansharut Daulah
;