Letupan di gereja Makassar: Jokowi kecam tindakan pengganas
Astro Awani
Mac 28, 2021 17:48 MYT
Mac 28, 2021 17:48 MYT
JAKARTA: Presiden Indonesia Joko Widodo mengutuk keras tindakan pengganas yang meletupkan sebuah gereja di Makassar, hari ini.
Dalam satu kemas kini di Twitter, Joko Widodo atau Jokowi, memaklumkan arahan sudah dikeluarkan kepada pihak berkuasa untuk melakukan siasatan dan menghadapkan mereka yang bertanggungjawab ke muka pengadilan.
"Terrorisme (keganasan) adalah kejahatan terhadap kemanusiaan dan tidak berkaitan dengan mana-mana agama. Semua agama menolak keganasan, walau atas alasan apa sekalipun.
"Saya minta semua rakyat agar kekal tenang menjalankan ibadah kerana kerajaan menjamin kebebasan beragama dan beribadah tanpa ada rasa takut," katanya dalam video yang dimuat naik.
Beliau turut meminta kerjasama semua pihak untuk memerangi keganasan yang bertentangan dengan nilai agama sekali gus menjunjung tinggi nilai ketuhanan.
Kerajaan juga katanya, akan sentiasa memastikan kebajikan mangsa yang cedera dan pembiayaan kos perubatan mereka.
Dua pengebom bunuh diri yang dipercayai bertanggungjawab dalam kejadian letupan di luar pintu masuk Gereja Katedral di Makassar, Sulawesi Selatan pada Ahad dipercayai maut di lokasi kejadian.
Seramai 14 orang turut tercedera dalam kejadian kira-kira 10.28 pagi waktu Indonesia bahagian tengah itu.
Tragedi | Perkembangan terbaharu pengeboman bunuh diri di gereja Makassar, Indonesia
#Joko Widodo
#letupan
#Indonesia
#keganasan
#pengganas
#cedera
#mangsa
#siasatan
#gereja katedral makassar