Letupan Brussels: "Ramai yang terkorban, detik hitam bagi Belgium" - PM Belgium

AFP
Mac 22, 2016 12:01 MYT
MICHEL: Satu serangan pengecut, yang membabi buta dan ganas. Ramai yang maut dan cedera parah berikutan serangan ini. - AFP / Belga / LAURIE DIEFFEMBACQ
Perdana Menteri Belgium Charles Michel menyifatkan serangan di Lapangan Terbang Brussels dan stesen metro yang menyebabkan ramai terkorban, sebagai “detik hitam” bagi negara berkenaan.
“Hari ini memang satu tragedi dan satu detik hitam bagi negara ini. Dua serangan berlaku di lapangan terbang di Zaventam, dan stesen metro Maalbeek.
“Satu serangan pengecut, yang membabi buta dan ganas. Ramai yang maut dan cedera parah berikutan serangan ini,” katanya dalam satu siaran televisyen tempatan.
FOTO ALBUM: Letupan di Lapangan Terbang Brussels dan metro ragut nyawa
Jumlah kematian bagi kedua-dua insiden berkenaan setakat ini lebih dari 28 orang dan dijangka akan terus meningkat.
Pendakwa Raya Persekutuan, Frederic Van Leeuw, berkata, salah satu letupan yang berlaku di Lapangan Terbang Brussels “dipercayai disebabkan oleh pengebom berani mati.”
Sebelum ini, pihak berkuasa telah memberi amaran bahawa akan ada tindakan balas daripada kumpulan pelampau selepas suspek serangan bom di Paris, Salah Abdeslam ditahan di Brussels pada Jumaat lalu.
#Belgium #Brussels #Charles Michel #Frederic Van Leeuw #Maalbeek #metro #Zaventam