Letupan bom di Songkhla: 10 termasuk tiga kanak-kanak cedera
Bernama
Februari 24, 2020 05:22 MYT
Februari 24, 2020 05:22 MYT
Sepuluh termasuk tiga kanak-kanak cedera dalam satu letupan bom di Saba Yoi, Songkhla pada Isnin.
Dalam kejadian kira-kira 3.20 petang (waktu tempatan), sebutir bom buatan sendiri seberat 10 kilogram dipasang pada sebuah motosikal yang diletakkan di tepi jalan, berdekatan sebuah kuil dan sekolah.
Ketua Polis Saba Yoi Kol Kongtup Sanatip berkata ketua penolong pegawai daerah pejabat daerah Saba Yoi bersama tiga lagi anggota sukarelawan yang menaiki sebuah pikap trak kalis peluru yang melalui tempat kejadian mengalami kecederaan.
"Pikap trak tersebut tercampak ke dalam gaung.
"Selain itu, enam orang awam termasuk tiga kanak-kanak berusia antara tiga dan lima tahun yang berada di tempat kejadian mengalami kecederaan," katanya ketika dihubungi.
Beliau berkata kesemua mangsa kini sedang menerima rawatan di hospital berdekatan.
Kongtup berkata polis tidak menolak kemungkinan kematian lima anggota militan dalam satu pertempuran dengan pihak keselamatan di Cho-Airong, Narathiwat pada Ahad merupakan motif serangan pada Isnin.
-- BERNAMA
#bom buatan sendiri
#Kongtup Sanatip
#kuil
#letupan bom
#militan
#motosikal
#Narathiwat
#pikap trak
#Saba Yoi
#sekolah
#serangan
#Songkhla
#sukarelawan
#tercampak ke dalam gaung