Letupan bom di gereja selatan Filipina, lebih 20 maut
Agensi
Januari 27, 2019 15:30 MYT
Januari 27, 2019 15:30 MYT
Sekurang-kurangnya 27 terbunuh dan 77 orang cedera selepas dua bom dilaporkan meletup di sebuah gereja di Selatan Filipina yang menjadi kubu kuat militan Abu Sayyaf, pagi tadi.
Letupan pertama berlaku dalam Cathedral of Our Lady of Mount Carmel di Jolo semasa kongregasi sedang berkumpul untuk Misa Ahad, membunuh orang awam manakala bom kedua, yang meletup di tempat parkir, mensasarkan anggota tentera yang sedang bergegas membantu mangsa dalam gereja.
Memetik laporan media tempatan, Ketua Polis Wilayah Autonomi Muslim Mindanao (ARMM), Graciano Mijares berkata, dua alat peledak jenis bahan letupan yang diubahsuai (IED) dipercayai digunakan.
Katanya, setakat pukul 1.20 petang waktu tempatan, 27 orang disahkan maut iaitu 20 orang awam dan tujuh anggota tentera.
Pasukan tentera dan polis Filipina segera mengawal kawasan tersebut dan semua mangsa dipindahkan ke hospital berdekatan, tambahnya.
Insiden dipercayai berlaku susulan satu referendum, yang meminta majoriti penduduk Islam di Mindanao menyokong pelan puak pemisah dan Kerajaan di Manila untuk mewujudkan satu kerajaan baharu yang mentadbir rantau terbabit, disahkan pada Jumaat.
Referendum itu membolehkan satu wilayah autonomi Islam yang baharu diwujudkan – satu penyelesaian aman antara kerajaan dan kumpulan pemberontak Moro Islamic Liberal Front (MILF). Konflik antara dua pihak ini telah mengorbankan lebih 120,000 nyawa sejak 1970-an.
Majoriti daripada 2.8 juta penduduk yang mengundi, menyokong referendum itu tetapi Jolo menolaknya.
Pada Jumaat, Suruhanjaya Pilihan Raya Filipina mengumumkan referendum itu disahkan selepas mengira undi dari lima wilayah.