Letup, karam, runtuh, tenggelam: Rabu yang pahit apabila maut menjemput di mana saja

Agensi
Ogos 15, 2018 21:45 MYT
Ketenangan itu suatu yang sukar dicapai di Kabul. - Gambar fail
INI adalah rangkuman beberapa kes di seluruh dunia dalam masa beberapa hari ini yang melibatkan korban jiwa.
Dari insiden angkara pengebom bunuh diri di Afghanistan, ke insiden bot karam di Sudan, jambatan lebuh raya runtuh di Itali dan bah yang melemaskan di India.
Semua itu bukan saja mengorbankan jiwa, malah menyebabkan ratusan atau ribuan yang lain dalam keadaan cedera, kehilangan harta benda dan kini dalam situasi yang sangat memilukan.
Yang pasti, setiap yang berlaku ini menyeru nilai kemanusiaan dari seluruh dunia.
Letupan bom di Kabul
Angka kematian akibat letupan di sebuah pusat pendidikan di Kabul pada Rabu mencapai 25 orang, dengan 35 lagi cedera, lapor Kementerian Kesihatan Afghanistan.
Setakat ini tiada pihak yang mengaku bertanggungjawab atas kejadian tersebut, yang berlaku beberapa minggu selepas keadaan tenang di Kabul.
Sebelum ini kawasan yang banyak dihuni oleh komuniti Syiah itu menjadi sasaran kumpulan militan Daish.
Puluhan mati lemas di Sungai Nil
Sekurang-kurangnya 22 pelajar mati lemas pada Rabu apabila sebuah bot yang membawa 40 orang penumpang karam ketika menyeberang Sungai Nil di utara Sudan.
Angkatan pertahanan awam giat menjalankan pemantauan di sekitar perairan tersebut untuk misi pencarian mangsa namun dipercayai masih banyak jasad yang belum ditemui.
Antara yang turut terkorban adalah seorang wanita petugas hospital.
Lebuh raya runtuh di Genoa
Pasukan penyelamat Itali pada Rabu giat menjalankan kerja mencari dan menyelamat saki-baki mangsa yang cedera serta terkorban akibat runtuhan sebuah lebuh raya di Genoa.
Insiden runtuhan lebuh raya dengan struktur tergantung itu setakat ini telah meragut 39 nyawa.
Kerajaan menuding jari kepada pemilik persendirian lebuh raya itu, selain mendesak peletakan jawatan mereka yang bertanggungjawab, serta merancang untuk membatalkan hak konsesi tol.
Lebih 40 tewas dan tenggelam di Kochi
Negeri Kerala di India menyaksikan bencana banjir paling teruk dalam tempoh sekurun. Sejumlah 43 orang telah disahkan mati pada Rabu apabila paras air semakin meningkat hingga memerangkap puluhan ribu orang di lokasi yang terputus hubungan.
Dalam kejadian yang melumpuhkan operasi lapangan terbang di Kochi itu, berita kematian terus diterima sejak Kerala terus-terusan menerima hujan lebat sejak beberapa hari lalu.
Bah yang membinasakan dilaporkan terjadi apabila pihak berkuasa terpaksa melepaskan air daripad 35 buah empangan, lantas melimpahkan bah besar ke sungai utamanya.
Selain korban jiwa dan kemusnahan tempat tinggal, bencana itu juga menyebabkan hasil pertanian rempah dan kopi di seluruh kawasan berkenaan rosak teruk.
#Afghanistan #angka korban #bencana alam #bencana dunia #India #Itali #kamalangan jiwa
;