Lepas divaksinasi, makan donat! Warga Amerika Syarikat diberi motivasi serba 'manis'

Agensi
Mac 24, 2021 14:37 MYT
Syarikat itu tidak pasti berapa jumlah yang akan diberi secara percuma sepanjang tahun 2021, namun "lebih banyak, lebih baik", kata mereka. - Facebook / Krispy Kreme Doughnuts
LOS ANGELES: Terkenal dengan pembuatan donat bersalut gula yang berkilat sempurna, orang ramai di Amrika Syarikat (AS) kini ada alasan tambahan untuk menyukai rangkaian Krispy Kreme.
Bermula Isnin lalu, sesiapa sahaja yang menunjukkan kad pengesahan vaksinasi COVID-19 di kedai Krispy Kreme di AS, layak menerima donut Krispy Kreme percuma, lapor Reuters.
"Saya terus datang ke Krispy Kreme selepas mendengar berita ini,” ujar Tae Kim, 32, yang tidak melepaskan peluang ‘menebus’ donat percumanya di Burbank, pinggir Los Angeles, selepas divaksinasi pada Isnin.
Pemberian percuma itu boleh diambil oleh setiap orang yang telah divaksinasi, setiap hari sehingga tahun 2022, supaya tiada yang ketinggalan, ujar ketua pegawai pemasaran Krsipi Kreme, Dave Skena.
Bagaimanapun, bukan semua orang memuji kaedah pemberian percuma itu, dengan sesetengah pengguna Twitter mengaitkan hubungan antara obesiti dengan kemungkinan jangkitan COVID-19.
Sebagai maklum balas, Skena berkata: “Sama seperti banyak produk kegemaran lain, cara terbaik untuk menikmatinya adalah dengan sederhana. Kami yakin pelanggan kami cukup pintar untuk menilainya.”
Krispy Kreme memberikan sejumlah 30 juta donat secara percuma pada tahun 2020. Syarikat itu tidak pasti berapa jumlah yang akan diberi secara percuma sepanjang tahun 2021, ujar Skena.
Namun, lebih banyak, lebih baik.
"Jangan bimbang tentang kami. Kami boleh hasilkan lebih banyak donat. Semakin banyak yang kami boleh berikan secara percuma, semakin kami rasa gembira. Itu bermakna kita semakin hampir pada apa yang kita mahukan, iaitu kembali ke kehidupan normal,” ujar wakil syarikat itu.
Seorang pelanggan, Steve Hines, berkata manisan percuma itu hanyalah satu perkara sampingan.
"Vaksinasi ini adalah suatu ganjaran dengan sendirinya. Itulah ganjarannya – untuk terus hidup. Namun donut ini ibarat satu bentuk motivasi,” ujarnya.
#Krispy Kreme #vaksin #vaksinasi #warga amerika #Amerika Syarikat #donat percuma #motivasi
;