Lepas bangun dari koma, terkejut tengok bil hospital RM380,000
Agensi
April 20, 2019 18:52 MYT
April 20, 2019 18:52 MYT
SEORANG pesakit yang sedar dari koma akibat cubaan membunuh diri terkejut apabila dilemparkan dengan bil hospital bernilai AS$93,424 (RM386,074).
Selepas seminggu dirawat di hospital, Oliver Jordan menerima bil untuk rawatan yang terdiri daripada penggunaan makmal (RM119,842), penggunaan katil dan wad (RM42,482) dan perkhidmatan bantuan pernafasan (RM51,209).
Gambar bil hospital itu dimuat naik oleh Oliver ke akaun Twitternya.
“Ini betapa mahalnya untuk cubaan membunuh diri di Amerika Syarikat,” katanya dalam tweet tersebut.
Oliver, 21 tahun yang bekerja dalam bidang perundangan di Oklahoma, dalam temubual bersama akhbar The New York Post menyatakan bahawa dia bersyukur kerana mempunyai insurans dan hanya perlu membayar dalam RM11,777.
Namun, beberapa netizen yang membalas tweet tersebut memaklumkan, nasib mereka tidak sebaik Oliver.
Salah satu pengguna Twitter @darthlola menceritakan tentang pengalamannya di wad psikiatri yang hanya selama dua hari, namun terpaksa melangsaikan bil berjumlah AS$10,000 (RM40,000).
Ada juga yang menyatakan rasa bersyukur atas perkhidmatan perubatan dan rawatan percuma di negara masing-masing, termasuk pengguna Twitter @naagnoool yang berasal daripada United Kingdom.
Menurut kajian Health Care Cost Institute, satu lawatan hospital di Amerika Syarikat secara purata bernilai RM7,922 bagi tahun 2016.
Dalam kajian oleh Johns Hopkins Bloomberg School of Public Health, sesetengah hospital di Amerika Syarikat menaikkan harga lebih 1000 peratus.
#Amerika Syarikat
#bunuh diri
#ekonomi
#Hospital
#kesihatan mental
#mangsa
#Oklahoma
#perubatan
#rawatan hospital